Blog 2:Kepentingan Keselamatan dan Kesihatan

KEPENTINGAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN

Mengapakah organisasi kini sangat mementingkan fungsi keselamatan dan kesihatan dalam organisasi?Seperti yang telah sedia maklum bahawa pembaziran dan impak negatif akan ditanggung oleh organisasi yang mengabaikan fungsi tersebut . Walau bagaimanapun terdapat beberapa sebab mengapa organisasi kini lebih mementingkan fungsi keselamatan dan kesihatan dalam organisasi.

1.Mengurangkan Kos

Mengurangkan kos merupakan perkara utama mengapa keselamatan dan kesihatan menjadi semakin penting dalam organisasi masa kini.Organisasi akan dapat mengurangkan kos melalui pembiayaan bil-bil perubatan pekerja,kecekapan pekerja  menjalankan tugas serta pemantauan aspek-aspek kesihatan dan keselamatan.Contohnya,persekitaran organisasi yang selamat dan jauh daripada punca-punca yang boleh membawa penyakit menyebabkan kesihatan pekerja menjadi bertambah baik .Sehubungan itu , tidak ramai pekerja yang akan mengambil cuti atau mendapatkan rawatan dari hospital atau klinik tertentu . Situasi ini menyebabkan operasi pengeluaran organisasi tidak terganggu dan pembayaran bil-bil perubatan berkurangan . Ini menyebabkan kos organisasi  dapat dikurangkan dan kesannya peletakan harga keluaran atau perkhidmatan menjadi lebih berdaya saing.

2.Mengelakkan Tuntutan

Antara kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada organisasi ialah sebarang tuntutan pihak-pihak tertentu dapat dielakkan.Tuntutan ini merujuk kepada pihak berkuasa yang mengenakan denda atau tindakan ke atas organisasi yang mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan . Ini bermakna , organisasi perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan sebagainya.Pematuhan organisasi terhadap akta ini menyebabkan organisasi menyediakan persekitaran kerja yang lebih selesa  dan memberi  kesedaran kepada semua pihak tentang pentingnya fungsi tersebut dalam organisasi.

3.Motivasi Pekerja

Organisasi yang menekankan kepada aspek keselamatan dan kesihatan dapat meningkatkan keselesaan persekitaran tempat kerja dan mendorong pekerja untuk melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.Apabila pekerja berasa selamat dan bebas melakukan tugas yang ditetapkan , daya kreativiti dan usaha pekerja dapat ditingkatkan .Situasi ini akan menggalakkan dan mendorong pekerja untuk menggunakan tenaga dan usaha yang maksimum dalam melakukan pekerjaan.

4.Tanggungjawab Sosial

Peningkatan aspek keselamatan dan kesihatan juga merupakan usaha organisasi ke arah pelaksanaan tanggungjawab sosial .Meningkatnya tahap kesedaran masyarakat Malaysia terhadap isu-isu keselamatan dan kesihatan telah mendorong organisasi untuk menghasilkan keluaran yang bersifat mesra alam , sistem pembuangan sisa yang teratur , pengendalian bahan-bahan kimia mengikut kaedah yang ditetapkan dan peraturan semasa masuk ke dalam kilang atau tempat pekerjaan.Peningkatan ciri-ciri keselamatan dan kesihatan ini memberi kebaikan kepada semua pihak sama ada kepada pekerja organisasi atau masyarakat  di sekelilingnya . Ia menggambarkan bagaimana organisasi yang bermotifkan keuntungan    tetapi dalam masaa yang sama mengambil berat terhadap isu-isu keselamatan dan kesihatan masyarakat umum .

5.Imej Organisasi

Sehubungan dengan tanggungjawab sosial ,imej organisasi juga dapat ditingkatkan kesan usaha organisasi ke arah meningkatkan keselamatan  dan kesihatan dalam organisasi . Imej baik ini memberi kesan yang positif kepada organisasi dan memudahkan organisasi menjalankan fungsi pengambilan dan pemilihan pekerja . Organisasi sentiasa mendapat perhatian calon-calon yang mencari pekerjaan dan tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan calon-calon yang berkelayakan .Masyarakat umum pula memandang tinggi usaha organisasi terhadap meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan kesihatan dan ini akan mempengaruhi mereka untuk terus menyokong keluaran organisasi berkenaan . Situasi ini akan mempengaruhi prestasi keluaran dipasaran yang menjadikan organisasi lebih berdaya saing.

BIBLIOGRAFI

Zafir Mohd Makhbul dan Fazilah Mohamad Hasun , Mengurus Sumber Manusia ,Halaman  284-287

DISEDIAKAN OLEH : HASZAILE BIN HJ HASSAN , SX080970HRJ01,801125-12-5123

Comments are closed.